Policies & Code

Governance

Policies & Code

Polisi Anti-Rasuah dan Anti-Sogokan

EN | BM


PERUTUSAN PENGERUSI

EWI Capital Berhad (dahulunya dikenali sebagai Eco World International Berhad) dan anak-anak syarikatnya (secara kolektif dirujuk sebagai, “EWI Capital”) mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah dan sogokan dalam semua bentuk.

EWI Capital komited untuk mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang terpakai di negara-negara di mana ia beroperasi dan melaksanakan tahap tingkahlaku dan integriti yang tinggi dalam aktiviti perniagaan kami sama ada di Malaysia atau di luar negara. Kami serius untuk membina suatu budaya akauntabiliti, memastikan keyakinan pelabur dan mengekalkan tadbir urus korporat yang baik. Ini telah menjadi lebih penting memandangkan betapa seriusnya bahaya yang diakibatkan oleh rasuah dan amalan sogokan dan pelaksanaan undang-undang anti-rasuah dan anti-sogokan di seluruh dunia.

Rasuah dan sogokan merosakkan perniagaan. Ia melemahkan aturan undang-undang, merosakkan kredibiliti pemerintah, dan mengekang persaingan bebas dan adil, dan mempengaruhi ekonomi secara umum. Undang-undang Malaysia mengenakan denda dan hukuman penjara yang berat kepada pesalah, serta pengarahnya dan orang-orang yang berkaitan dengan pengurusan hal ehwalnya jika pesalah itu adalah organisasi komersial. Kegagalan mematuhi juga boleh menyebabkan pemecatan (jika anda seorang pekerja), penamatan kontrak dan tuntutan ganti rugi (jika anda adalah rakan niaga) dan EWI Capital mungkin mengalami gangguan perniagaan, kerugian kewangan dan reputasi.

Polisi ini menetapkan pendekatan yang diambil oleh EWI Capital dalam memerangi rasuah dan sogokan dan jika perlu, ia perlu dibaca bersama dengan polisi dan prosedur operasi standard EWI Capital yang lain. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan, peruntukan yang lebih ketat akan diguna pakai.

Memiliki pemahaman yang jelas mengenai Polisi ini adalah penting dalam sistem pengurusan risiko kami dan kami mengharapkan semua pegawai, pekerja dan rakan niaga kami bertindak menurut Polisi ini. Sekiranya anda ragu atau mempunyai sebarang pertanyaan tentang skop dan aplikasi Polisi ini atau program pematuhan anti-rasuah, sila hubungi Pasukan Integriti kami (integrityteam@ewi.capital) dengan segera. Polisi ini juga boleh didapati dalam versi elektronik di https://ewi.capital/policies_and_code/anti-bribery-and-anti-corruption-policy/. Terima kasih atas sokongan dan komitmen anda.

Mr. Cheah Tek Kuang
Pengerusi